Wednesday 13 March 2013

KERTAS UNDI TIDAK DIBERIKAN KEPADA ANDA JIKA...



Kertas Undi Tidak Diberikan Kepada Anda jika...



Kertas Undi tidak akan dikeluarkan kepada pengundi jika -

1. Pengundi enggan menunjukkan jari telunjuk kirinya kepada Kerani Pengundian untuk memastikan tiada dakwat kekal

2. Pengundi enggan membenarkan jari telunjuk kirinya ditandakan dengan dakwat kekal

3. Jari pengundi telah mempunyai tanda calitan dakwat kekal walaupun tiada garisan dibuat antara nombor siri  dengan no kad pengenalannya dalam Daftar Pemilih

4. Jari telunjuk kiri tidak terdapat calitan dakwat kekal tetapi telah ada garisan dibuat antara nombor siri  dengan no kad pengenalannya dalam Daftar Pemilih yang menunjukkan bahawa kertas undi telah dikeluarkan kepadanya


Bagi keadaan di mana kertas undi tidak dikeluarkan kepada pengundi, maka KTM hendaklah membuat catatan di dalam Borang Akuan Mengenai Keengganan Mengeluarkan Kertas Undi (Borang 10A)



Walaubagaimanapun, jika pengundi yang pada mulanya enggan dicalitkan jari telunjuk kirinya datang semula ke Tempat Mengundi untuk mengundi dan bersetuju untuk dicalitkan telunjuk kirinya dengan dakwat kekal, maka KTM akan mengeluarkan kertas undi kepadanya dan membatalkan Borang 10A.

Tuesday 12 March 2013

HALANGAN UNTUK MENGUNDI

HALANGAN UNTUK MENGUNDI


Sebagai Pemilih Berdaftar maka namanya mestilah terdapat di dalam Daftar Pemilih semasa bagi Bahagian Pilihan Raya di mana ia mendaftar. Pengundi hendaklah mengundi di tempat mengundi di mana namanya tersenarai di dalam Daftar Pemilih di dalam tempat mengundi yang berkenaan.

Pemilih adalah dinasihatkan agar menyemak namanya untuk memastikan tempat mengundi dengan lebih awal.

Semakan Daftar Pemilih 1 : http://daftarj.spr.gov.my/DaftarjBM.aspx
Semakan Daftar Pemilih 2 : http://daftarj2.spr.gov.my/

Pemilih hendaklah membuat Surat Akuan di dalam Borang 11 mengaku bahawa beliau belum lagi mengundi sama ada di tempat mengundi berkenaan atau di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di tempat lain.

Akuan Belum Mengundi di mana-mana Bahagian Pilihan Raya

PENGUNDI KURANG UPAYA

PENGUNDI KURANG UPAYA


Bagi Pengundi Kurang Upaya atau tidak berdaya oleh sebab buta atau kecacatan fizikal lain, maka boleh meminta mana-mana orang yang dipercayai yang merupakan seorang warganegara dan berusia 21 tahun atau lebih dan dinamakan oleh pengundi untuk mengundi mengikut cara yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan. Orang yang dinamakan tersebut hendaklah membuat suatu akuan mengenai identitinya dan penamaannya dalam Borang 10 dan tiap-tiap akuan dikecualikan daripada duti setem.



Jika orang sedemikian tidak dinamakan oleh pengundi kurang berdaya, maka Ketua Tempat Mengundi hendaklah menandakan kertas undi pengundi itu mengikut cara yang disuruh oleh pengundi itu dan hendaklah menyebabkan kertas undi itu dimasukkan ke dalam peti undi.

EJEN PILIHAN RAYA

SIAPA EJEN PILIHAN RAYA?


Ejen Pilihan Raya ialah orang yang dilantik oleh Calon yang bertanding bagi mana-mana Bahagian Pilihan Raya untuk Parlimen atau Negeri. Calon boleh melantik sesiapa yang layak untuk menjadi Ejen Pilihan Raya tetapi tidaklah diwajibkan. Calon boleh menamakan dirinya sendiri sebagai Ejen Pilihan Raya. Jika ini berlaku, Calon tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagai Calon dan juga sebagai Ejen Pilihan Raya.

Borang Perlantikan Ejen Pilihan Raya

Jika seseorang Calon gagal memaklumkan nama Ejen Pilihan Raya kepada PP, maka dengan sendirinya Calon akan dianggap sebagai telah menamakan dirinya sendiri sebagai Ejen Pilihan Raya.


Peringatan : Calon diingatkan berhati-hati melantik Ejen Pilihan Raya kerana apa jua perbuatan rasuah atau yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh Ejen Pilihan Raya akan disifatkan di bawah undang-undang sebagai telah dilakukan oleh Calon dan ini boleh membatalkan keputusan pilihan raya.

Teliti peruntukan di bawah Bab III dan IV Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954


Tugas Ejen Pilihan Raya :

1. Boleh melantik Wakil Calon untuk menyertai Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR)

2. Boleh melantik Ejen Tempat Mengundi, Ejen Mengira, Ejen Pengeluaran Undi Pos, Ejen Pembukaan dan Mengira Undi Pos, Pemerhati Barung, Kerani dan Pembawa Utusan

3. Menguruskan semua rekod dan penyata perbelanjaan yang berkaitan pilihan raya bagi calonnya

4. Hendaklah menguruskan semua pembayaran yang dilakukan berkaitan perjalanan atau pengurusan pilihan raya

5. Calon atau Ejennya hendaklah menyimpan kira-kira perbelanjaan pilihan raya bagi setiap perkara dan disokong oleh vaucar. Vaucar ini hendaklah dikemukakan bersama penyata perbelanjaan pilihan raya dalam tempoh 31 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan

Melantik Ejen Tempat Mengundi, Ejen Mengira, Ejen Pengeluaran Undi Pos, 
Ejen Pembukaan dan Mengira Undi Pos, Pemerhati Barung,
penyata perbelanjaan pilihan raya

WRIT/NOTIS PILIHAN RAYA & KERTAS PENAMAAN

BORANG-BORANG BERKAITAN PRU


Writ Pilihan Raya dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 kepada Pegawai Pengurus (PP) bagi tiap-tiap Bahagian Pilihan Raya yang dipertandingkan.

Satu Notis (Notis untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Dewan Rakyat / DUN yang berkenaan) (dalam Borang 2 dan 2A) akan disiarkan dalam warta. SPR akan menetapkan tarikh untuk Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi. 

Hari Penamaan Calon tidak boleh kurang daripada 4 hari dari tarikh penyiaran Notis tersebut. Sekiranya ada pertandingan, pengundian akan diadakan dalam tempoh tidak kurang daripada 7 hari dari tarikh Hari Penamaan Calon. 

Selepas menerima Writ Pilihan Raya dan pengeluaran Notis Pilihan Raya, PP akan mengambil langkah-langkah untuk mengadakan Pilihan Raya mengikut cara-cara yang diperuntukkan.

Langkah 1 : PP mengeluarkan Notis (Notis untuk memilih seorang ahli Dewan Rakyat/DUN yang berkenaan bagi Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan). PP akan pamerkan Notis di tempat awam yang mudah dilihat oleh orang ramai.

Peringatan : Ambil perhatian tentang TARIKH, TEMPAT dan MASA HARI PENAMAAN CALON

Orang-orang yang berkelayakan sebagai calon mempunyai sekurang-kurangnya 4 hari untuk menyediakan Kertas Penamaan Calon dan dokumen-dokumen lain.

Kertas Penamaan Calon ialah dokumen yang sangat penting dan perlu teliti apabila mengisinya. Borang 4 ialah untuk Pilihan Raya Dewan Rakyat (Parlimen) dan Borang 4A untuk Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN). Hanya SATU SALINAN sahaja diperlukan.


Peringatan : Kertas Penamaan Calon boleh diperolehi dengan bayaran RM20.00 bagi setiap satu mengandungi Borang 4 dan Borang 5 atau Borang 4A dan Borang 5A.




Peringatan : Kertas Penamaan Calon yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 ialah seperti :-

1. Tidak menggunakan Borang 4 atau 4A

2. Tidak menggunakan Bahasa Malaysia

3. Tidak disebut nama tempat bertanding (nama bahagian atau nama negeri)

4. Tidak ada nama pencadang dan penyokong

5. Pencadang dan Penyokong bukan pemilih berdaftar dalam bahagian ini

6. Tiada tandatangan calon, pencadang, penyokong dan saksi

7. Borang tidak diisi dengan lengkap
- tiada nombor kad pengenalan
- tiada alamat tempat tinggal dan surat menyurat
- tiada maklumat pencadang dan penyokong eg no kad pengenalan
- tiada alamat, no kad pengenalan saksi serta tarikh tandatangan
- nama Bahagian Pilihan Raya tidak lengkap - contoh 'Lembah Pantai', tetapi hanya ditulis 'Lembah' atau 'Pantai' sahaja
- tiada atau salah no kod Bahagian Pilihan Raya - 'N' bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri dan 'P' bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen

8. Tiada Akuan Berkanun  dalam Borang 5 atau 5A


Peringatan : Masa untuk menyerahkan Kertas Penamaan Calon ialah antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada Hari Penamaan Calon


Pembetulan Kertas Penamaan Calon : PP mempunyai kuasa untuk menyemak Kertas Penamaan Calon antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan menasihati calon atau wakilnya untuk membuat pembetulan. Pembetulan tidak dibenarkan selepas jam 10.00 pagi. Selepas jam 10.00pagi PP boleh memeriksa kelayakan calon bertanding.


Calon hilang kelayakan atas sebab-sebab berikut :
1. Belum mencapai umur 21 tahun
2. Diisytiharkan tidak sempurna akal
3. Diisytiharkan bankrap
4. Memegang jawatan berpendapatan
5. Tidak mengemukakan Penyata Perbelanjaan Pilihan Raya (yang terdahulu/dalam tempoh 5 tahun)
6. Disabitkan kesalahan oleh Mahkamah dengan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada 1 tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.00
7. Hilang taraf kewarganegaraan Malaysia


Kertas Penamaan Calon akan DITOLAK jika :

1. Butir-butir calon tidak mencukupi untuk mengenali calon (eg nama dan kad pengenalan tidak lengkap)

2. Kertas Penamaan Calon tidak mematuhi kehendak atau tidak diserahkan mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981

3. Ternyata dari Kertas Penamaan, bakal Calon tidak sesuai untuk dipilih menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri

4. Calon hilang kelayakan (sebagaimana ditulis di atas)

5. Calon didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

6. Hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri di bawah Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan atau peruntukan Perlembagaan Negeri


Keputusan PP ialah muktamad berkenaan Kelayakan Calon. Jika tidak berpuas hati/terkilan, boleh mengemukakan Petisyen Pilihan Raya mengenainya selepas keputusan Pilihan Raya berkenaan diwartakan.