Tuesday 12 March 2013

WRIT/NOTIS PILIHAN RAYA & KERTAS PENAMAAN

BORANG-BORANG BERKAITAN PRU


Writ Pilihan Raya dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 kepada Pegawai Pengurus (PP) bagi tiap-tiap Bahagian Pilihan Raya yang dipertandingkan.

Satu Notis (Notis untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Dewan Rakyat / DUN yang berkenaan) (dalam Borang 2 dan 2A) akan disiarkan dalam warta. SPR akan menetapkan tarikh untuk Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi. 

Hari Penamaan Calon tidak boleh kurang daripada 4 hari dari tarikh penyiaran Notis tersebut. Sekiranya ada pertandingan, pengundian akan diadakan dalam tempoh tidak kurang daripada 7 hari dari tarikh Hari Penamaan Calon. 

Selepas menerima Writ Pilihan Raya dan pengeluaran Notis Pilihan Raya, PP akan mengambil langkah-langkah untuk mengadakan Pilihan Raya mengikut cara-cara yang diperuntukkan.

Langkah 1 : PP mengeluarkan Notis (Notis untuk memilih seorang ahli Dewan Rakyat/DUN yang berkenaan bagi Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan). PP akan pamerkan Notis di tempat awam yang mudah dilihat oleh orang ramai.

Peringatan : Ambil perhatian tentang TARIKH, TEMPAT dan MASA HARI PENAMAAN CALON

Orang-orang yang berkelayakan sebagai calon mempunyai sekurang-kurangnya 4 hari untuk menyediakan Kertas Penamaan Calon dan dokumen-dokumen lain.

Kertas Penamaan Calon ialah dokumen yang sangat penting dan perlu teliti apabila mengisinya. Borang 4 ialah untuk Pilihan Raya Dewan Rakyat (Parlimen) dan Borang 4A untuk Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN). Hanya SATU SALINAN sahaja diperlukan.


Peringatan : Kertas Penamaan Calon boleh diperolehi dengan bayaran RM20.00 bagi setiap satu mengandungi Borang 4 dan Borang 5 atau Borang 4A dan Borang 5A.




Peringatan : Kertas Penamaan Calon yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 ialah seperti :-

1. Tidak menggunakan Borang 4 atau 4A

2. Tidak menggunakan Bahasa Malaysia

3. Tidak disebut nama tempat bertanding (nama bahagian atau nama negeri)

4. Tidak ada nama pencadang dan penyokong

5. Pencadang dan Penyokong bukan pemilih berdaftar dalam bahagian ini

6. Tiada tandatangan calon, pencadang, penyokong dan saksi

7. Borang tidak diisi dengan lengkap
- tiada nombor kad pengenalan
- tiada alamat tempat tinggal dan surat menyurat
- tiada maklumat pencadang dan penyokong eg no kad pengenalan
- tiada alamat, no kad pengenalan saksi serta tarikh tandatangan
- nama Bahagian Pilihan Raya tidak lengkap - contoh 'Lembah Pantai', tetapi hanya ditulis 'Lembah' atau 'Pantai' sahaja
- tiada atau salah no kod Bahagian Pilihan Raya - 'N' bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri dan 'P' bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen

8. Tiada Akuan Berkanun  dalam Borang 5 atau 5A


Peringatan : Masa untuk menyerahkan Kertas Penamaan Calon ialah antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada Hari Penamaan Calon


Pembetulan Kertas Penamaan Calon : PP mempunyai kuasa untuk menyemak Kertas Penamaan Calon antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan menasihati calon atau wakilnya untuk membuat pembetulan. Pembetulan tidak dibenarkan selepas jam 10.00 pagi. Selepas jam 10.00pagi PP boleh memeriksa kelayakan calon bertanding.


Calon hilang kelayakan atas sebab-sebab berikut :
1. Belum mencapai umur 21 tahun
2. Diisytiharkan tidak sempurna akal
3. Diisytiharkan bankrap
4. Memegang jawatan berpendapatan
5. Tidak mengemukakan Penyata Perbelanjaan Pilihan Raya (yang terdahulu/dalam tempoh 5 tahun)
6. Disabitkan kesalahan oleh Mahkamah dengan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada 1 tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.00
7. Hilang taraf kewarganegaraan Malaysia


Kertas Penamaan Calon akan DITOLAK jika :

1. Butir-butir calon tidak mencukupi untuk mengenali calon (eg nama dan kad pengenalan tidak lengkap)

2. Kertas Penamaan Calon tidak mematuhi kehendak atau tidak diserahkan mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981

3. Ternyata dari Kertas Penamaan, bakal Calon tidak sesuai untuk dipilih menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri

4. Calon hilang kelayakan (sebagaimana ditulis di atas)

5. Calon didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

6. Hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri di bawah Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan atau peruntukan Perlembagaan Negeri


Keputusan PP ialah muktamad berkenaan Kelayakan Calon. Jika tidak berpuas hati/terkilan, boleh mengemukakan Petisyen Pilihan Raya mengenainya selepas keputusan Pilihan Raya berkenaan diwartakan.

No comments:

Post a Comment